|


Takrif
Solat
Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia
bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan
takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang
tertentu. Firman Allah swt:
"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu
dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al
Ankabut : 45)
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari
semalam, iaitu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya'.
Syarat wajib solat:
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal
Syarat sah solat:
1. Suci badan dari dua hadas.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan
di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.
(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang
tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di
sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ianya tidak
menepati syarat sah solat)
Perkara-perkara yang membatalkan solat:
1. Keluar/kedatangan hadas.
2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
3. Makan/minum walau sedikit.
4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali
berturut-turut (mutawaliyat).
5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak
segera ditutup.
9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
10. Meninggalkan rukun solat.
Waktu-waktu Solat Fardhu:
Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah
seperti berikut:
1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah
terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada
puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur
sehinggalah matahari terbenam.
4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga
hilang mega merah di ufuk barat.
5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang
dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.
Perbuatan sunat sebelum solat:
1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan
tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya
waktu solat fardu.
2. Iqamah.
3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan
bersugi.
Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:
1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari
terbenam.
5. Ketika masuk matahari.
[Kembali
ke atas]
Rukun Solat
Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak
terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.
Huraian rukun solat:
(i) Niat: niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh
mulut itu tidaklah dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku
semasa seseorang mengangkat takbiratul ihram iaitu tatkala ia
mengata Allahu-Akhbar. Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka
seseorang itu akan bertakbiratul ihram dan lalu hatinya berkata:
Sahaja aku solat Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah
Taala
(ii) Takbiratul Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk
memulakan solat. Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar
dengan lafaz lain.
(iii) Berdiri bagi orang yang berkuasa. Sekiranya berdiri tetapi
condong ke hadapan, ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga
tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka hukum solat itu tidak
sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka bolehlah dilakukan solat
secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara mana
yang termampu. Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara
duduk, namun tidak digalakkan.
(iv) Membaca al-Fatihah: pada tiap-tiap rakaat dengan memelihara
segala makhraj dan tajwid fatihah. Rukun al-Fathihah tidak
diwajibkan untuk makmum dalam solat berjemaah.
(v) Rukuk, berserta tama'ninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah
membongkokkan belakangnya sampai dua tangan di atas dua kepala
lutut, disertai dengan tama'ninah iaitu berhenti sebentar
sekadar lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota berat
kemudian berhenti. Doa tasbih ketika rukuk ialah:"Maha suci
Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya."
(vi) Iktidal. Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk,
berserta tama'ninah. Doa tasbih ketika iktidal ialah: "Allah
mendengar akan orang yang memuji-Nya."
Kemudian disambung pula dengan bacaan: "Ya Tuhan kami! Bagi-Mu
segala puji."
(vii) Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi
itu mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa
seperti dahi dibalut kerana luka dan sebagainya, maka tidaklah
wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan sengaja
tanpa sebab adalah tidak sah solatnya. Anggota sujud ada 7:
1. Dahi
2. Dua tapak tangan
3. Dua lutut
4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan
sifat kepujian-Nya"
(viii) Duduk di antara dua sujud dan tama'ninah. Mengangkat
kepala dan badan untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah
mengandungi tujuan. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mengangkat
dari sujud kerana tujuan lain, umpamanya mengelakkan daripada
binatang, maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk antara
dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak boleh dipanjangkan.
Doa tasbih ketika sujud ialah:
"Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku,
angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah,
sihatkanlah aku dan maafkanlah aku."
(ix) Tahiyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyat akhir juga
hendaklah dipelihara segala bacaan di dalamnya. Bacaan tahiyat
akhir adalah seperti berikut:
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk
Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah
yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh
Allah."
(x) Duduk ketika tahiyyat akhir.
(xi) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli
'ala Muhammad."
(xii) Salam pertama. Sekurang-kurangnya salam: "Assalamu'alaikum"
bermaksud "salam sejahtera ke atas kamu."
(xiii) Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang
dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal
ketertiban rukun-rukunnya dikira tidak sah.
[Kembali
ke atas]
Sunat Hai'ah & Ab'adh
Perkara-perkara sunat semasa solat ada dua:
1. Sunat Hai'ah
2. Sunat Ab'adh
Sunat Hai'ah ada 15 perkara:
1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk,
ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. (nota:
bangun dari rakaat pertama dan ketiga tidak diperlukan
mengangkat tangan)
2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan
memegangnya dan meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:
"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah
sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam.
Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku
cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari
golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya
sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya
kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku
menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku
adalah dari golongan orang-orang Islam."
4. Membaca A'uzubillah
5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat pada
tempat-tempat dan masa-masa yang ditentukan
6. Membaca amin selepas fatihah
7. Membaca surah al-Quran
8. Membaca tasbih ketika rukuk
9. Membaca tasbih ketika rukuk
10. Membaca tasbih ketika sujud
11. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
12. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari
kesemuanya
13. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku
lali kaki kiri
14. Duduk Tawarruk iaitu duduk tahiyat akhir
15. Salam yang kedua
Sunat Ab'adh ada 7 perkara:
1. Tahiyat awal.
2. Selawat didalam Tahiyat awal
3. Duduk Tahiyat
4. Doa qunut waktu subuh dan pada solat witir. Doa qunut ialah:
"Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau
tunjukkan. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah
Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah
Engkau pimpinkan. Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah
Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan yang
telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang
menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan
sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang
yang memperoleh pimpinanMu. Dan tidak mulia orang yang Engkau
musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi
Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan. Aku minta ampun dan
bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya
Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan
sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan."
5. Selawat di dalam qunut
6. Berdiri semasa qunut
7. Membaca selawat ke atas keluarga Nabi pada Tahiyat akhir.
Sekiranya tertinggal sunat Ab'adh, maka disunatkan ia sujud
sahwi; manakala tertinggal sunat hai'ah tidak diperlukan sujud
sahwi.
[Kembali
ke atas]
Solat Berjemaah
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada
seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang
imam. Sabda Nabi SAW:
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat
bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan
sekurang-kurangnya seorang makmum. Solat secara berjemaah sangat
dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu
kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah
hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam
Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah
solat fardu lima waktu, solat hari raya, solat sunat tarawih dan
solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang Jumaat, ia wajib
dikerjakan secara berjemaah.
Syarat-syarat sah solat berjemaah:
1. Berniat mengikut/menjadi imam.
2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.
3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum,
kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan
dengan kain.
4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula
melambatkannya.
5. Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.
6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di
takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris
dengan imam.
7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama
solat Zuhur, Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.
8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.
Semasa berniat, seseorang itu perlu menambah perkataan makmuman
(makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam
lelaki) atau imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat
yang ingin dilakukan.
Antara syarat untuk menjadi imam:
1.Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.
2.Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada
imam lain.
3.Imam itu sudah mumaiyiz.
Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Imam ialah yang
menanggung pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala
untuk dirinya dan untuk mereka (makmum) dan jika rosak
pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya sendiri, dan
bukan makmumnya.
[Kembali
ke atas]
|