|

Hadis Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku
kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan
ke dalam api Neraka.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w
berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian
bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang
dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah
percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab
yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan
percaya kepada Hari Kebangkitan. Lelaki itu bertanya lagi: Wahai
Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? Baginda
bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak
menyekutukan-Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang
telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan
berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian lelaki tersebut bertanya
lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? Rasulullah s.a.w
bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah
engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka
ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut
bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Bilakah Hari Kiamat akan
berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang
bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku
akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila
seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian
dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi
pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain
dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala
kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka,
maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima
perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui
dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya.
Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ
وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا
تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ
اللَّهَ عَلِيْمٌ خَبِيرٌ
Yang
bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan
berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan
hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang
mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan
diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat
dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan
menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat
Meliputi pengetahuan-Nya. Kemudian lelaki tersebut beredar dari
situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila
panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah
lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati
lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda:
Lelaki tadi ialah Jibril a.s.
Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka
Hadis Talhah bin
Ubaidillah r.a katanya:
Seorang penduduk Najd telah datang menghadap Rasulullah s.a.w
dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada
suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir
kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu
Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu
sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah
sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w
menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin
melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya
kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu lelaki tersebut
bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku?
Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau
ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah
s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki
tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan
kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika
engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah.
Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku
tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda:
Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang
telah diucapkannya.
Hadis Anas bin Malik r.a
katanya:
Kami dilarang bertanya sesuatu kepada Rasulullah s.a.w. Maka
kami merasa amat bertuah apabila seorang kampung yang cukup
bijak datang menghadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada
baginda di mana kami dapat mendengar perbualannya. Kemudian
datang pula seorang lelaki dari daerah pendalaman lalu bertanya
baginda: Wahai Muhammad! Utusanmu
telah datang kepada kami dan menyatakan kepada kami bahawa
engkau telah diutuskan oleh Allah. Lalu Rasulullah s.a.w
menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya
lagi: Sekiranya benar, siapakah yang menciptakan langit?
Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki
tersebut bertanya lagi: Siapakah yang menciptakan bumi?
Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Allah. Kemudian
lelaki tersebut bertanya: Siapakah yang menegakkan gunung-ganang
dan menjadikannya sebagaimana sekarang? Rasulullah s.a.w
menjawab dengan bersabda: Allah. Lelaki tersebut terus bertanya:
Demi Pencipta langit dan bumi serta menegakkan gunung-ganang,
adakah Allah yang telah mengutuskanmu? Rasulullah s.a.w.
menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki itu bertanya lagi: Utusanmu
mendakwa bahawa kami wajib mendirikan sembahyang sebanyak lima
waktu sehari semalam. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang
mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?
Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut
bertanya: Utusanmu mendakwa bahawa kami wajib mengeluarkan zakat
dari harta kami. Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
Memang benar. Lelaki tersebut bertanya lagi: Demi Allah yang
mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan perkara ini kepadamu?
Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Ya. Lelaki tersebut
berkata lagi: Utusanmu juga mendakwa bahawa kami diwajibkan
berpuasa pada bulan Ramadan setiap tahun. Rasulullah s.a.w
menjawab dengan bersabda: Memang benar. Lelaki tersebut bertanya
lagi: Demi Allah yang mengutusmu, adakah Dia yang mewajibkan
perkara ini kepadamu? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda:
Ya. Lelaki tersebut berkata lagi: Utusanmu mendakwa bahawa kami
wajib mengerjakan Haji di Baitullah,
sekiranya berkemampuan. Rasulullah s.a.w menjawab dengan
bersabda: Memang benar. Kemudian lelaki tersebut beredar sambil
berkata: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku
tidak akan menambah atau mengurangi apa yang telah engkau
jelaskan. Setelah mendengar kata-kata lelaki tersebut, baginda
pun bersabda: Sekiranya dia membenarkan sebagaimana yang
diucapkannya nescaya dia akan masuk Syurga
Hadis Abu Ayub Al-Ansariy
r.a:
Seorang lelaki kampung yang dalam keadaan musafir telah
menghadap Rasulullah s.a.w, lalu dia memegang tali unta baginda.
Kemudian lelaki tersebut berkata: Wahai
Muhammad! Ceritakanlah kepadaku perkara yang boleh
mendekatkanku kepada Syurga dan menjauhkanku dari Neraka.
Rasulullah s.a.w tidak segera menjawab, sebaliknya baginda
memandang ke arah para sahabat sambil bersabda: Sesungguhnya dia
adalah orang yang telah mendapat petunjuk. Kemudian baginda
bertanya kepada lelaki tersebut: Apakah perkara yang engkau
tanyakan tadi? Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya. Lalu
Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri
kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah
sembahyang, keluarkanlah zakat dan pulihkanlah hubungan
kekeluargaan. Sekarang lepaskanlah unta ini.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Seorang lelaki kampung telah datang menghadap Rasulullah s.a.w
lalu berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu
amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga. Rasulullah s.a.w
bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan
menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang
sebagaimana yang difardukan dan keluarkanlah zakat yang
diwajibkan serta berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu orang itu
berkata: Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan
menambah atau menguranginya sama sekali apa yang telah
dijelaskan kepadaku. Setelah orang itu beredar Rasulullah s.a.w
pun bersabda: Sesiapa yang ingin melihat ahli Syurga maka
lihatlah kepada lelaki ini.
Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Islam ditegakkan di atas lima perkara
iaitu mengesakan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan
zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan Haji.
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Rombongan
Abdul Qais
telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w
lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari
perkampungan Rabi'ah.
Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir
Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak
dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan
Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian,
perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan
kami sampaikan kepada orang lain. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:
Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat
perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda
menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
وَأَنَّ
مُحَمَّدًا
رَسُولُ
اللَّهِ
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu
perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu
agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu,
bekas yang diperbuat dari campuran tanah, rambut dan darah,
bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas
yang dilumurkan dengan tar.
Hadis Muaz r.a katanya:
Aku diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: Engkau
akan mendapati golongan Ahli
Kitab, oleh itu dakwahlah mereka supaya mengucap Dua Kalimah
Syahadat. Jika mereka menerima Dua Kalimah Syahadat tersebut,
ajarkanlah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka
mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Sekiranya
mereka tetap mentaati perintah tersebut, ajarkanlah pula kepada
mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka agar mengeluarkan
zakat. Jika mereka tetap mentaatinya, beritahulah mereka supaya
berhati-hati terhadap harta mereka yang sangat disayangi dan
takutlah doa orang yang teraniaya kerana doa mereka adalah
mustajab.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat,
Sayidina Abu Bakar r.a
terus memegang teraju pemerintahan sebagaimana yang diamanahkan
oleh baginda s.a.w. Keadaan ini menyebabkan beberapa kelompok
masyarakat Arab bertukar
kembali menjadi kafir. Sayidina
Umar r.a bertanya Sayidina
Abu Bakar: Bagaimana kamu akan memerangi manusia sedangkan
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi
manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat.
Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas
daripada aku kecuali apa yang dibenarkan oleh syariat dan
segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk
menentukannya. Abu Bakar menjawab:
Demi Allah aku akan memerangi mereka yang membezakan antara
sembahyang dan zakat kerana zakat merupakan tuntutan terhadap
harta. Demi Allah, andai-kata mereka enggan membayar zakat
tersebut sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah
s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya
memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah
Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya
bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat dan
segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk
menentukannya.
Hadis Abdullah bin Umar r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diarahkan supaya memerangi
manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat
iaitu:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ
مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
mendirikan
sembahyang serta mengeluarkan zakat. Sesiapa yang melakukannya
bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan
oleh syariat Islam dan segala-galanya terserahlah kepada Allah
s.w.t untuk menentukannya
Hadis Al-Musayyab bin
Hazn r.a katanya:
Rasulullah s.a.w menziarahi
Abu Talib di saat-saat beliau tenat
menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati
Abu Jahal dan
Abdullah bin
Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana.
Rasulullah s.a.w bersabda: Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat,
aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. Lalu
Abu Jahal dan
Abdullah bin Abu Umayyah
mencelah: Wahai Abu Talib
Sanggupkah kamu meninggalkan agama
Abdul Muttalib? Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah
tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali
mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib
menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia
tetap bersama dengan agama Abdul
Muttalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat.
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku akan pohonkan
keampunan dari Allah untukmu sehinggalah Allah menurunkan ayat
مَا
كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا
لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا
تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Yang
bermaksud: Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang
beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun
orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa
orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka. Firman Allah
bersempena dengan peristiwa
Abu Talib
إِنَّكَ
لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ
يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Yang
bermaksud: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa
memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi
supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa
memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu
menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih
mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk
mendapat petunjuk memeluk Islam.
Hadis Ubadah bin As-Somit
r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa
yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
أَشْهَدُ
أَنْ
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
وَحْدَهُ
لَا
شَرِيكَ
لَهُ
وَأَنَّ
مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ
وَرَسُولُهُ
dan bersaksi bahawa Nabi Isa adalah
hamba Allah, anak hambanya dan kalimah Allah iaitu Nabi Isa a.s
dijadikan oleh Allah tidak berbapa hanya dengan kalimah KUN yang
bererti jadilah engkau maka jadilah dia yang disampaikan kepada
Mariam dan juga tiupan roh
daripada-Nya, serta bersaksi bahawa balasan Syurga adalah pasti
begitu juga balasan Neraka adalah pasti di mana Allah akan
memasukkan mereka yang dikehendaki ke dalam Syurga melalui salah
satu dari lapan pintu Syurga sebagaimana yang dikehendakinya
Hadis Anas bin Malik r.a:
Ketika Muaz
bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu
perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai
Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima
panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil
lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi:
Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah
s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku
menyahut lagi: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah
Syahadat iaitu:
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
وَأَنَّ
مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ
وَرَسُولُهُ
nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata:
Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar
mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda:
Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah
Hadis Itban bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada
Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa
Itban ketika aku pergi ke
Madinah. Lalu aku meminta beliau
meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa
sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan
kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat
mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan
mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya
sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi:
Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat
dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang
sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di
mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan
Malik bin Dukhsyum. Para
sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan
ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga
inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda
selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda:
Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu:
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
وَأَنَّ
مُحَمَّدًا
رَسُولُ
اللَّهِ
Para sahabat menjawab:
Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di
hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua
Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau
dimakan oleh api Neraka.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Iman terdiri
daripada lebih dari tujuh puluh bahagian dan malu adalah salah
satu dari bahagian-bahagian iman.
Hadis Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w mendengar seseorang menasihati saudaranya dalam hal
malu iaitu melarangnya dan menganggap perbuatan itu buruk, lalu
Nabi s.a.w bersabda: Malu itu sebahagian dari iman.
Hadis Abdullah bin Amru r.a:
Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apakah sifat
yang paling baik dalam Islam? Rasulullah s.a.w bersabda:
Memberikan makanan serta memberi salam samada kepada orang yang
engkau kenali atau pun tidak.
Hadis Abdullah bin
Amru bin Al-As r.a:
Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang
Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang
yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
Hadis Abu Musa r.a katanya:
Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah sifat orang Islam yang
paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang
menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya.
Hadis Anas r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga perkara,
jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah
dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai
Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai
seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran
setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana
dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.
Hadis Anas bin Malik r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu,
sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum
dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya
sendiri.
Hadis Abu Hurairah r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik
atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat,
maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga
sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka
hendaklah dia memuliakan para tetamunya.
Hadis Abu Syuraih Al-Khuza'iy
r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran
tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat,
maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia
bercakap hanya perkara yang baik atau diam.
Hadis Abu Said r.a:
Diriwayatkan daripada Tariq
bin Syihab r.a katanya: Orang pertama yang berkhutbah pada
Hari Raya sebelum sembahyang Hari Raya didirikan ialah
Marwan. Seorang lelaki berdiri lalu
berkata kepadanya: Sembahyang Hari Raya hendaklah dilakukan
sebelum membaca khutbah. Marwan menjawab: Sesungguhnya kamu
telah meninggalkan apa yang ada di sana. Kemudian
Abu Said berkata: Orang ini
benar-benar telah membatalkan apa yang menjadi ketentuan
kepadanya sedangkan beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia
hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu
kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya.
Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan
hatinya. Itulah selemah-lemah iman.
Hadis Abi Mas'ud
Uqbah bin Amru r.a katanya:
Nabi s.a.w memberi isyarat dengan tangan
ke arah Yaman, seraya bersabda:
Ingatlah, sesungguhnya iman ada di sana sedangkan kekerasan dan
kekasaran hati ada pada orang-orang yang bersuara keras
berhampiran pangkal ekor unta ketika muncul sepasang tanduk
syaitan, iaitu pada Bani Rabi'ah
dan Bani Mudhar.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Penduduk Yaman
datang, mereka lebih lembut hatinya. Iman ada pada orang
Yaman. Fekah juga ada pada orang Yaman. Kemudian hikmat juga ada
pada orang Yaman.
Hadis Jarir bin Abdullah
r.a katanya:
Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan
sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap
setiap Muslim.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang penzina
tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan.
Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di
dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang
peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada
di dalam keimanan.
Hadis Abdullah bin Amru r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa
yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang
munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya
bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia
meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila
membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia
menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui bata.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang
munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong,
apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia
mengkhianatinya.
Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang mengkafirkan
saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada
salah seorang di antara keduanya iaitu yang berkata atau yang
dikata.
Hadis Abu Zar r.a:
Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang
mengaku keturunannya selain dari ayahnya, padahal dia
mengetahuinya, pastilah dia kafir iaitu mengingkari nikmat dan
kebaikan, tidak memenuhi hak Allah dan hak ayahnya. Sesiapa
mengaku sesuatu yang bukan menjadi miliknya, maka dia tidak
tergolong dari golongan kami dan hendaknya dia mempersiapkan
tempatnya di Neraka. Sesiapa memanggil seseorang dengan kafir
atau menyatakan musuh Allah, padahal sebenarnya tidak demikian,
maka tuduhan itu akan kembali kepada dirinya.
Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu membenci
bapa-bapa kamu. Sesiapa membenci ayahnya bererti dia kafir.
Hadis Saad bin Abu Waqqas
r.a katanya:
Kedua telingaku mendengar daripada Rasulullah s.a.w yang
bersabda: Sesiapa mengaku ayah semasa Islam selain dari ayahnya,
sedangkan dia tahu bahawa itu bukanlah ayahnya, maka diharamkan
kepadanya memasuki Syurga.
Hadis Abdullah bin Mas'ud
r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Mencaci dan memaki orang-orang Islam
adalah fasiq dan memerangi mereka adalah kafir.
Hadis Jarir r.a katanya:
Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku sewaktu Haji Wida' supaya
menyuruh orang ramai diam. Setelah orang ramai diam, baginda
bersabda: Janganlah kamu kembali menjadi orang-orang kafir
setelah peninggalan ku dengan memukul-mukul leher di antara satu
sama lain di kalangan kamu.
Hadis Zaid bin
Khalid Al-Juhaniy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang bersama kami di
Hudaibiah, selepas hujan turun pada
malam tersebut. Setelah selesai sembahyang, baginda menghadap
kepada kaum Muslimin, lalu bersabda: Tahukah kamu apa yang telah
difirmankan oleh Tuhan kamu? Para kaum Muslimin menjawab: Allah
dan Rasul-Nya lebih mengetahui, lalu baginda bersabda: Allah
berfirman: Di antara hamba-hambaKu, ada yang beriman kepadaKu
dan ada yang kafir. Maka sesiapa yang menyatakan: Kita dituruni
hujan dengan anugerah dan rahmat Allah, orang itu beriman
kepadaKu dan tidak beriman terhadap bintang-bintang. Sebaliknya
orang yang berkata: Kita dituruni hujan oleh bintang ini atau
bintang itu, maka orang tersebut kafir terhadapKu dan beriman
kepada bintang-bintang.
Hadis Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Tanda orang
Munafik adalah membenci sahabat
Ansar dan tanda orang Mukmin adalah mencintai
sahabat Ansar.
Hadis Al-Bara' r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w bahawa baginda telah bersabda
mengenai golongan Ansar:
Golongan Ansar tidak dicintai oleh orang lain kecuali orang yang
beriman dan mereka tidak dibenci oleh orang lain kecuali orang
yang munafik. Sesiapa yang mencintai mereka, maka Allah akan
mencintainya. Sesiapa yang membenci mereka, maka Allah akan
membencinya.
Hadis
Abdullah bin Umar r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Wahai kaum wanita!
Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon
ampun. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai
menjadi penghuni Neraka. Seorang wanita yang cukup pintar di
antara mereka bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum
wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka? Rasulullah
s.a.w bersabda: Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku
tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih
menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu
bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal
dan agama itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Maksud kekurangan akal
ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang
lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga
wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang
dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadan kerana haid. Maka
inilah yang dikatakan kekurangan agama.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama?
Baginda bersabda: Beriman kepada Allah. Sahabat bertanya lagi:
Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Jihad pada jalan Allah
iaitu berjuang pada jalan Allah dan sahabat bertanya lagi:
Kemudian apa? Rasulullah s.a.w bersabda: Haji Mabrur iaitu
ibadat Haji yang diterima.
Hadis
Abu Zar r.a katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah! Apakah
amalan yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Beriman
kepada Allah dan berjuang pada jalan-Nya. Aku bertanya: Hamba
yang bagaimanakah paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Hamba
yang paling baik menurut pemiliknya dan paling banyak harganya.
Aku bertanya lagi: Bagaimana Jika aku tidak bekerja? Rasulullah
s.a.w bersabda: Engkau boleh membantu orang yang bekerja atau
bekerja untuk orang yang tidak memiliki pekerjaan. Aku bertanya
lagi: Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku tidak mampu
melakukan sebahagian dari amalan? Rasulullah s.a.w bersabda:
Engkau hendaklah memberhentikan kejahatanmu terhadap orang lain
kerana, hal itu merupakan sedekah darimu kepada dirimu.
Hadis
Abdullah bin Mas'ud r.a
katanya:
Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling
utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya
lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua
orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda
bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi
kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan
baginda.
Hadis
Abdullah bin Mas'ud r.a
katanya:
Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah dosa yang paling besar di
sisi Allah? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau menjadikan iaitu
menganggap ada yang sebanding dengan Allah sedangkan Dialah yang
menciptakanmu. Aku berkata: Sesungguhnya dosa demikian memang
besar. Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Kemudian engkau
membunuh anakmu kerana bimbang dia makan bersamamu iaitu
makananmu. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Rasulullah
s.a.w bersabda: Jika engkau berzina dengan isteri jiranmu.
Hadis
Abu Bakrah r.a katanya:
Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda:
Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar?
Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua
ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa
Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk.
Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga
baginda berhenti dari menyebut Hadis tersebut.
Hadis
Anas bin Malik r.a:
Nabi s.a.w pernah menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda
bersabda: Menyekutukan Allah, mengherdik kedua-dua ibu-bapa,
membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.
Hadis
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh
membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau
dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah!
Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan
Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir,
membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak,
memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan
pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu
yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga
perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat
serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan
fitnah melakukan perbuatan zina.
Hadis
Abdullah bin Amru
bin Al-As r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah
seorang lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para sahabat
bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki
memaki-hamun kedua orang tuanya? Rasulullah menjawab dengan
bersabda: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang
lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu
juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki
lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Hadis
Abdullah bin Mas'ud r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mati dalam keadaan
menyekutukan Allah dengan sesuatu nescaya akan memasuki Neraka.
Maka aku berkata iaitu perawi Hadis: Aku dan orang-orang yang
tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, akan memasuki Syurga.
Hadis
Abu Zar r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Jibril a.s
telah datang berjumpa aku lalu memberitahu berita gembira, iaitu
sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak
mensyirikkan Allah dengan sesuatu, nescaya dia akan dimasukkan
ke dalam Syurga. Aku bertanya: Walaupun dia berzina dan mencuri?
Rasulullah bersabda: Walaupun dia berzina dan mencuri.
Hadis
Miqdad bin Al-Aswad r.a:
Beliau telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, apakah
pendapatmu sekiranya aku berjumpa dengan seorang lelaki dari
golongan orang-orang kafir, lalu menyerangku dan memotong salah
satu dari tanganku dengan pedangnya. Kemudian dia lari dariku
dan berlindung di sebalik sepohon kayu, lalu berkata, aku
menyerah diri kerana Allah. Adakah aku boleh membunuhnya selepas
dia mengucapkan ungkapan itu? Rasulullah bersabda: Janganlah
engkau membunuhnya. Miqdad tidak berpuas hati lalu membantah:
Wahai Rasulullah! Lelaki itu telah memotong tanganku kemudian
telah mengungkapkan ungkapan tersebut selepas memotongnya,
adakah aku boleh membunuhnya? Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu membunuhnya, sekiranya kamu membunuh lelaki itu,
sesungguhnya dia seperti kamu sebelum kamu membunuhnya dan
sesungguhnya kamu sepertinya sebelum dia mengucapkan perkataan
tersebut.
Hadis
Usamah bin Zaid r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kami
dalam suatu pasukan. Kami sampai di
Al-Huruqat, suatu tempat di daerah
Juhainah pada waktu pagi. Aku berjumpa seorang lelaki,
lelaki tersebut menyebut
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
lalu aku menikamnya. Aku menceritakan peristiwa itu kepada
Rasulullah. Rasulullah bertanya dengan sabdanya: Adakah kamu
membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan kalimah syahadat
لَا
إِلَهَ
إِلَّا
اللَّهُ
Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya lelaki itu mengucap
demikian kerana takutkan hayunan pedang. Rasulullah bertanya
lagi: Sudahkah engkau membelah dadanya sehingga kamu tahu dia
benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadat atau tidak? Rasulullah
mengulangi soalan itu kepadaku menyebabkan aku bercita-cita
untuk menyerah diri pada ketika itu juga. Usamah menceritakan
lagi, Saad telah berkata: Demi Allah,
aku tidak akan membunuh seorang muslim sehinggalah ianya telah
dilakukan oleh orang yang mempunyai perut yang kecil, iaitu
Usamah. Usamah berkata lagi, seorang
lelaki telah bertanya: Tidakkah Allah telah berfirman
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ
Yang
bermaksud: Dan Perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah
serta jadikanlah agama itu semata-mata kerana Allah. Maka
Saad menjawab: Sesungguhnya kami
memerangi mereka supaya tidak berlaku fitnah, tetapi kamu dan
para sahabat kamu memerangi mereka, untuk menimbulkan fitnah.
Hadis
Abdullah bin Umar r.a:
Nabi bersabda: Sesiapa yang menghunuskan pedang kepada kami,
maka dia tidak termasuk dalam golongan kami.
Hadis
Abu Musa r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghunuskan pedang
kepada kami, maka dia tidak termasuk dalam golongan kami.
Hadis
Abdullah Ibnu Mas'ud r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Bukan dari golongan kami orang yang
menampar pipinya, mengoyak-ngoyak saku bajunya atau berdoa
dengan doa orang-orang jahiliah.
Hadis
Huzaifah r.a katanya:
Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak masuk
Syurga orang yang suka menabur fitnah.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada
Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan
mereka dari dosa dan mereka akan diazab dengan azab seksa yang
pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di
Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada
musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan
selepas waktu Asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu
sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga
sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia
membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar
setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya
pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan
jika tidak dia berpaling tadah.
[Kembali
ke atas] |