|

Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membunuh dirinya dengan
sepotong besi, maka dengan besi yang tergenggam di tangannya
itulah dia akan menikam perutnya dalam Neraka Jahanam secara
berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam Neraka tersebut
untuk selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan
meminum racun maka dia akan merasai racun itu dalam Neraka
Jahanam secara berterusan dan dia akan dikekalkan di dalam
Neraka tersebut untuk selama-lamanya. Begitu juga, sesiapa yang
membunuh dirinya dengan terjun dari puncak gunung, maka dia akan
terjun dalam Neraka Jahanam secara berterusan untuk membunuh
dirinya dan dia akan dikekalkan dalam Neraka tersebut untuk
selama-lamanya.
Hadis
Thabit bin Ad-Dhahhak r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan agama
selain agama Islam secara dusta maka keadaannya adalah seperti
ucapannya. Sesiapa yang membunuh dirinya sendiri maka dia akan
diazab pada Hari Kiamat sebagaimana kelakuannya untuk membunuh
diri. Seorang lelaki tidak boleh bernazar dengan sesuatu yang
dia tidak memilikinya.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Ketika kami bersama Rasulullah dalam peperangan
Hunain, Rasulullah telah berkata
kepada seorang lelaki yang diakui sebagai seorang muslim: Dia
tergolong dalam golongan ahli Neraka. Ketika kami di medan
pertempuran, lelaki itu telah berperang dengan
bersungguh-sungguh menyebabkan dia mengalami luka yang parah.
Ada yang melaporkan kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah!
Lelaki yang engkau katakan sebelum ini bahawa dia merupakan ahli
Neraka telah berjuang pada hari ini dengan penuh semangat dan
dia telah mati. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dia akan ke
Neraka. Sebahagian kaum Muslimin merasa ragu. Pada saat itu
datang seseorang melaporkan bahawa dia tidak mati kerana
berjuang, tetapi luka parah. Pada malam itu, dia tidak sabar
menghadapi kesakitan lukanya lalu telah membunuh dirinya sendiri,
hal itu telah dilaporkan kepada Rasulullah. Rasulullah terus
bertakbir: الله
أكبر
dan berkata Aku bersaksi bahawa aku adalah hamba Allah dan
Rasul-Nya. Lalu Rasulullah menyuruh
Bilal r.a memberitahu semua orang bahawasanya tidak akan
masuk Syurga kecuali jiwa atau orang yang berserah diri iaitu
Muslimah. Sesungguhnya Allah telah menguatkan lagi agama ini
dengan seorang lelaki yang gagah perkasa.
Hadis
Sahl bin Saad As-Saa'idiy
r.a:
Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan orang-orang musyrik dan
terjadilah peperangan. Semasa Rasulullah kembali ke pasukan
Muslimin dan orang kafir kembali ke pasukan mereka terdapat
seorang lelaki dari kalangan
sahabat Rasulullah s.a.w
yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja. Dia
mengejar dan menetak musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah
yang lain berkata: Pada hari ini tiada di kalangan kita yang
benar-benar berpuas hati seperti yang dilakukan oleh Si Anu.
Rasulullah s.a.w terus bersabda apabila mendengar kata-kata itu:
Tetapi ingat! Dia tergolong dalam golongan ahli Neraka. Seorang
lelaki dari kaum Muslimin berkata: Aku akan mengikutnya
sepanjang masa. Sahl bin Saad berkata lagi: Lelaki itu telah
keluar bersama-sama dengan Si Anu, apabila Si Anu berhenti
ketika berperang maka dia turut berhenti, ketika Si Anu bergerak
pantas maka dia pun sama bergerak pantas. Lelaki itu telah
menceritakan bahawa Si Anu telah mengalami luka parah. Oleh
kerana tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, maka dia ingin
segera mati lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah
lalu menikam dirinya sendiri. Lelaki itu keluar bertemu
Rasulullah lalu berkata: Aku bersaksi sesungguhnya engkau
Muhammad, sememangnya Rasul iaitu utusan Allah. Rasulullah
bertanya dengan sabda baginda: Kenapa dengan kamu ni? Lelaki itu
berkata: Lelaki yang engkau sebut-sebut sebagai ahli Neraka dan
kebanyakkan manusia iaitu sahabat dan pejuang-pejuang mengambil
berat tentang hal ini, aku bersaksi kepada kamu Rasulullah s.a.w
tentang Si Anu, aku telah keluar mengikutnya sepanjang
peperangan sehingga aku dapati dia telah luka parah, dia ingin
cepat mati, lalu dia telah meletakkan hulu pedangnya ke tanah
dan mata pedang di antara dua dadanya kemudian dia menekan ke
atas dirinya lantas membunuh dirinya sendiri. Maka Rasulullah
s.a.w bersabda: Ada lelaki yang beramal seperti amalan ahli
Syurga sedangkan dia adalah ahli Neraka. Ada juga lelaki yang
beramal dengan amalan ahli Neraka sedangkan dia adalah ahli
Syurga.
Hadis
Jundab r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Terdapat seorang lelaki dari kalangan
umat sebelum kamu dijangkiti bisul. Ketika bisul itu membuatnya
sakit, dia mencabut panah dari bekasnya lalu membedah bisul
tersebut menyebabkan darah tidak berhenti mengalir sehingga
lelaki tersebut mati. Allah berfirman: Aku mengharamkan Syurga
ke atasnya.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w menuju ke
Khaibar. Allah memberikan kemenangan
kepada kami, tetapi kami tidak mendapatkan harta rampasan perang
berupa emas atau perak. Kami hanya memperolehi barang-barang,
makanan dan pakaian. Kemudian kami berangkat menuju ke sebuah
lembah dan terdapat seorang hamba bersama Rasulullah s.a.w milik
baginda yang diberikan oleh seorang lelaki dari
Juzam. Hamba itu bernama
Rifa'ah bin Zaid dari
Bani Ad-Dhubaib. Ketika kami
menuruni lembah, hamba Rasulullah itu berdiri untuk melepaskan
pelananya tetapi, dia terkena anak panah dan ternyata itulah
saat kematiannya. Kami berkata: Ketenanganlah baginya dengan
Syahid wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak
mungkin! Demi zat yang menguasai
Muhammad sesungguhnya sehelai baju yang diambilnya dari
harta rampasan perang Khaibar, yang
tidak dimasukkan dalam pembahagian akan menyemarakkan lagi api
Neraka ke atasnya. Abu Hurairah berkata: Maka terkejutlah
orang-orang Islam. Lalu datanglah seorang lelaki dengan membawa
seutas atau dua utas tali pelana, lalu berkata: Wahai Rasulullah,
aku mendapatkannya semasa perang Khaibar.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Seutas atau dua utas tali
pelana itu dari Neraka.
Hadis
Anas bin Malik r.a katanya:
Ketika ayat ini diturunkan:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ
صَوْتِ النَّبِيِّ
Yang
bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi. Hingga ke akhir ayat
2 surat Al-Hujurat. Thabit bin
Qais sedang duduk di rumahnya dan berkata: Aku ini termasuk
dari ahli Neraka! Beliau bersembunyi dari Nabi s.a.w sehingga
Nabi s.a.w bertanya Saad bin Muaz.
Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu
Amru, bagaimanakah keadaan Thabit?
Adakah dia sakit? Saad menjawab:
Keadaannya seperti biasa dan aku tidak mendengar apa-apa berita
yang menyatakan dia sakit. Anas berkata: Lalu
Saad pun menziarahinya dan memberitahu
kepadanya tentang percakapan beliau dengan Rasulullah s.a.w.
Thabit berkata: Ayat ini diturunkan,
sedangkan kamu semua mengetahui bahawa aku adakah orang yang
paling keras bersuara, melebihi suara Rasulullah s.a.w. Kalau
begitu aku ini termasuk dari ahli Neraka. Maka
Saad menceritakan hal itu kepada
Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Bahkan
beliau termasuk dari kalangan ahli Syurga.
Hadis
Abdullah bin Mas'ud r.a
katanya:
Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah!
Adakah kami akan dihukum kerana perbuatan yang telah kami
lakukan semasa Jahiliah Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di
antara kamu yang berbuat baik pada zaman Islam, maka dia tidak
akan dikenakan hukuman kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah.
Tetapi sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dia akan dihukum
kerana perbuatannya pada zaman Jahiliah dan pada zaman Islam.
Hadis
Ibnu Abbas r.a katanya:
Ramai di antara orang musyrik yang telah
membunuh dan ramai pula yang telah berzina. Kemudian mereka
menghadap Nabi Muhammad s.a.w.
lalu berkata: Apa yang engkau katakan dan engkau seru itu
sangat baik sekalipun engkau beritahu kami bahawa apa yang telah
kami lakukan ada penebusnya. Lalu diturunkan ayat
وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ
النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا
يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا
Yang
bermaksud: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang
lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan
oleh Allah iaitu membunuhnya kecuali dengan cara yang dibenarkan
oleh syarak dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perbuatan
tersebut akan mendapat pembalasan dosanya. Diturunkan juga ayat
يَا
عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا
مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ
Yang
bermaksud: Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas
terhadap diri mereka sendiri iaitu dengan perbuatan maksiat,
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Hadis
Hakim bin Hizam r.a katanya:
Bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Adakah kamu
melihat beberapa perkara yang aku pernah sembah pada zaman
Jahiliah dulu? Adakah aku akan dikenakan sesuatu hukuman
berkaitan dengan perkara itu? Rasulullah s.a.w bersabda: Adakah
engkau menganggap perkara yang engkau lakukan sebelum ini adalah
kebaikan dan masih menyembahnya.
Hadis
Abdullah bin Mas'ud r.a
katanya:
Ketika turunnya ayat 82 surah Al-An'am
الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ
Yang
bermaksud: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan
iman mereka dengan kezaliman iaitu syirik. Hal ini membuatkan
para sahabat Rasulullah
s.a.w susah hati, lalu mereka berkata: Siapakah di antara
kita yang tidak menganiyai dirinya sendiri iaitu berbuat zalim?
Rasulullah s.a.w bersabda: Itu tidak seperti yang kamu duga,
tetapi ia seperti yang dikatakan oleh
Lukman kepada anaknya di dalam Al-Quran
يَا
بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Yang
bermaksud: Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu menyekutukan
Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik
itu adalah satu kezaliman yang besar.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memberi keampunan
dan tidak mengambil kira segala pembicaraan hati umatku selagi
mereka tidak memperkatakannya atau melakukannya.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat
pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan
kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan
kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya
sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin
melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka
catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya
maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.
Hadis Ibnu
Abbas r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang
baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah
berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan
kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu:
Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi
melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan
yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin
melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan
di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali
ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya.
Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak
melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan
yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan
kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu
amalan kejahatan sahaja.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia masih lagi tertanya-tanya,
sehinggalah dikatakan bahawa Allah telah menciptakan makhluk,
lalu mereka bertanya siapakah yang menciptakan Allah? Sesiapa
yang mendapati perkara tersebut ada di dalam hatinya maka
hendaklah dia mengucapkan: Aku beriman kepada Allah.
Hadis
Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Allah
s.w.t telah berfirman: Sesungguhnya umatmu masih lagi mengatakan
begitu dan begini sehinggalah mereka berkata: Jika Allah telah
menciptakan makhluk maka siapakah pula yang menciptakan Allah?
Hadis
Abdullah Ibnu Mas'ud r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda:
Sesiapa yang bersumpah dengan sumpah palsu, sumpah yang boleh
menyekat harta seorang muslim, sedangkan dia melakukan kepalsuan
dalam sumpahnya itu maka dia akan menemui Allah dalam keadaan
yang dimurkai oleh Allah.
Hadis
Abdullah bin Amru r.a
katanya:
Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang dibunuh
kerana mempertahankan hartanya adalah mati syahid.
Hadis
Ma'qil bin Yasar r.a:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang
ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam
keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya
Syurga.
Hadis
Huzaifah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w menceritakan kepada kami dua buah Hadis. Aku
telah mengetahui salah satu daripadanya dan aku masih menunggu
Hadis yang kedua. Baginda menceritakan kepada kami bahawa:
Amanah ditempatkan pada pangkal hati seorang lelaki. Setelah Al-Quran
diturunkan, mereka mula mempelajari dari Al-Quran begitu juga
mereka mula mengetahui dari Sunnah. Seterusnya baginda
menceritakan kepada kami tentang kehilangan amanah dengan
bersabda: Seorang lelaki sedang tidur lalu amanah diambil dari
hatinya sehingga menampakkan kesannya. Kemudian dia tidur lagi
lalu di ambil pula amanah dari hatinya sehingga kesannya bengkak
seperti melecur kerana terkena bara yang jatuh ke kaki. Kesan
tersebut terus membengkak sedangkan tidak ada apa-apa di
dalamnya. Seterusnya baginda mengambil seketul batu kecil lalu
menjatuhkannya ke kaki baginda. Orang ramai kembali meneruskan
urus niaga masing-masing. Hampir tidak ada seorangpun yang
melaksanakan amanah lantas baginda bersabda: Di kalangan Bani
Polan ada seorang lelaki yang sangat amanah. Sehinggalah baginda
berkata kepada seorang lelaki: Alangkah tabahnya! Alangkah
jujurnya! Alangkah pintarnya! Sedangkan dihatinya tidak ada iman
walaupun sebesar biji sawi. Benar-benar telah datang kepadaku
suatu zaman dan aku tidak peduli kepada sesiapa di antara kalian
aku berjual beli. Jika dia orang Islam maka agamanya akan
menegahnya mengkhianatiku. Sekiranya dia seorang Nasrani atau
Yahudi maka penguasanya akan menegahnya dari mengkhianatiku.
Adapun hari ini aku hanya berjual beli dengan si Polan dan si
Polan.
Hadis Huzaifah
r.a:
Sayidina
Umar r.a
pernah bertanya aku ketika aku bersamanya. Katanya: Siapakah di
antara kamu yang pernah mendengar Rasulullah s.a.w meriwayatkan
tentang fitnah? Para sahabat menjawab: Kami pernah mendengarnya.
Sayidina Umar bertanya: Apakah kamu bermaksud fitnah seorang
lelaki bersama keluarga dan jiran tetangganya? Mereka menjawab:
Ya, benar. Sayidina Umar berkata: Fitnah tersebut boleh
dihapuskan oleh sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, siapakah di
antara kamu yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda tentang
fitnah yang bergelombang sebagaimana lautan bergelombang?
Huzaifah berkata: Para sahabat
terdiam. Kemudian Huzaifah berkata: Aku, wahai Umar! Sayidina
Umar berkata: Engkau. Lantas Sayidina Umar memuji dengan berkata
ayahmu adalah milik Allah. Huzaifah
berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan
melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara
tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang
dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya
bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak
dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih
sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi
putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah,
selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain
menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak
menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran,
segala-galanya adalah mengikut keinginan.
Hadis
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya iman itu berlindung
iaitu merimbun di Madinah,
sebagaimana ular berlindung di dalam sarangnya.
Hadis
Huzaifah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda ketika kami bersamanya: Kumpulkan
untukku beberapa orang sahabat yang boleh menyatakan Islam. Kata
Huzaifah: Kami menjawab: Wahai Rasulullah! Adakah engkau
bimbangkan kami, sedangkan kami berjumlah antara enam hingga
tujuh ratus orang. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak dapat
menyangka bahawa suatu hari nanti kamu akan diuji. Huzaifah
berkata: Ujilah kami walaupun sehingga sahabat-sahabat kami
terpaksa mendirikan sembahyang secara sembunyi.
Hadis
Saad r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah membahagikan suatu pembahagian. Lalu aku
mencelah: Wahai Rasulullah! Berilah kepada lelaki itu kerana dia
juga seorang mukmin. Baginda bertanya dengan bersabda: Adakah
dia juga seorang Islam? Aku menjawabnya sebanyak tiga kali
tetapi baginda tetap juga meminta kepastian daripada aku
sebanyak tiga kali dengan pertanyaan betulkah dia juga seorang
Islam. Baginda seterusnya bersabda: Aku bimbang Allah meletakkan
lelaki tersebut ke dalam Neraka ekoran dari aku memberikan
pembahagian kepadanya kerana ingin memujuk. Sedangkan masih ada
orang lain yang lebih mengasihiku.
Hadis
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih
berhak merasa ragu daripada Nabi
Ibrahim a.s, ketika dia berkata di dalam Al-Quran
رَبِّ
أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ
بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ
قَلْبِي
Yang
bermaksud: Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku bagaimana Engkau
menghidupkan orang mati? Allah berfirman: Adakah engkau tidak
percaya kepada kekuasaanKu? Nabi Ibrahim menjawab: Aku tetap
percaya dan yakin tetapi agar hatiku tenteram. Rasulullah s.a.w
terus bersabda: Semoga Allah memberikan rahmat kepada
Nabi Lut. Dia benar-benar telah
berlindung kepada suatu kuasa yang kuat iaitu Allah s.w.t.
Seandainya aku tinggal di penjara selama tempoh
Nabi Yusuf berada di dalamnya
nescaya aku akan memenuhi keinginan mereka yang meminta.
Hadis
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap Nabi diberi tanda sebagai
bukti kenabian mereka, tanda-tanda yang ditunjukkan itu boleh
menarik perhatian umat masing-masing supaya beriman dengan
mereka. Sedangkan yang diberikan kepadaku hanyalah wahyu yang
diturunkan oleh Allah. Oleh itu aku berharap, akulah yang paling
ramai pengikut berbanding dengan mereka pada Hari Kiamat.
Hadis Abu Musa
r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Ada tiga orang manusia yang diberi
pahala dua kali: Pertama ialah seorang lelaki
Ahli Kitab yang beriman kepada
nabinya dan sempat hidup pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, lalu
beriman kepadanya, mengikuti dan membenarkannya, nescaya dia
mendapat dua pahala. Kedua ialah seorang hamba yang menunaikan
kewajipannya terhadap Allah s.w.t dan kewajipannya terhadap
tuannya, nescaya dia juga mendapat dua pahala. Ketiga ialah
seseorang yang mempunyai hamba perempuan, dia memberinya makan
dengan baik, mendidiknya dengan baik, lalu memerdekakannya serta
mengahwininya, maka dia juga mendapat dua pahala.
Hadis
Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah! Sesungguhnya telah hampir
masanya Nabi Isa bin Mariam
turun kepada kamu untuk menjadi hakim secara adil. Dia akan
mematahkan salib, membunuh babi serta tidak menerima cukai dan
harta akan melimpah, sehinggalah tidak ada seorang pun yang
ingin menerimanya.
Hadis
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Hari Kiamat
tidak akan berlaku sehinggalah matahari terbit dari arah barat.
Seandainya seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t ketika
matahari terbit dari arah barat, maka pada waktu itu
لَا
يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ
كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Yang
bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak
beriman sebelumnya atau tidak berusaha melakukan kebaikan
terhadap imannya.
Hadis Abu Zar r.a:
Suatu Hari Nabi s.a.w bersabda: Tahukah
kamu ke mana matahari ini pergi? Para sahabat menjawab: Allah
dan RasulNyalah yang lebih mengetahui. Lantas Rasulullah s.a.w
bersabda: Perjalanan matahari ini berakhir di suatu tempat yang
telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu merebahkan diri untuk
bersujud. Ia tetap berada dalam keadaan tersebut, sehinggalah
diperintahkan kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana
kamu datang. Matahari kemudiannya kembali sehinggalah ia terbit
dan beredar sebagaimana biasa. Matahari terus beredar lagi
sehingga sampai di suatu tempat yang ditetapkan di bawah Arasy
lalu merebahkan lagi dirinya untuk bersujud. Ia juga tetap
berada dalam keadaan demikian sehinggalah diperintahkan
kepadanya: Bangunlah dan kembalilah ke tempat mana kamu datang.
Matahari kembali lagi sehinggalah ia terbit dan beredar
sebagaimana biasa tanpa diketahui oleh manusia dan berakhir pada
tempat yang telah ditetapkan di bawah Arasy, lalu bersujud dan
tetap dalam keadaan demikian, sehinggalah akhirnya diperintahkan
kepadanya: Bangunlah dan terbitlah dari sebelah barat.
Rasulullah s.a.w terus bersabda: Tahukah kamu bilakah ianya akan
berlaku? Ianya akan berlaku ketika mana
لَا
يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ
كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Yang
bermaksud: Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak
beriman sebelumnya atau tidak berusaha melakukan kebaikan
terhadap imannya.
Hadis
Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:
Permulaan wahyu Rasulullah s.a.w telah
berlaku dalam bentuk mimpi yang benar dalam tidur baginda.
Baginda mendapati mimpi tersebut sebagaimana munculnya
keheningan fajar Subuh yang menyebabkan baginda suka menyepi
diri. Baginda biasanya menyepi di gua
Hira'. Di sana baginda menghabiskan beberapa malam untuk
beribadat dengan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t sebelum
kembali ke rumah. Untuk tujuan tersebut baginda membawa sedikit
bekalan. Setelah beberapa hari berada di sana baginda pulang
kepada Khadijah, mengambil bekalan
untuk beberapa malam. Keadaan ini terus berlarutan, sehinggalah
baginda didatangi wahyu ketika baginda berada di
gua Hira'. Wahyu tersebut
disampaikan oleh Malaikat Jibril a.s dengan berkata: Bacalah
wahai Muhammad! Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca.
Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku
lalu memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari
ketakutan. Kemudian Malaikat melepasku dengan berkata: Bacalah
wahai Muhammad! Baginda sekali lagi bersabda: Aku tidak pandai
membaca. Rasulullah s.a.w bersabda: Malaikat kemudiannya
memegang aku buat kali kedua lalu memelukku erat-erat
sehinggalah aku kembali pulih dari ketakutan. Malaikat
seterusnya melepasku dengan berkata: Bacalah wahai Muhammad!
Baginda bersabda: Aku tidak pandai membaca. Rasulullah s.a.w
bersabda: Malaikat kemudiannya memegang aku buat kali ketiga
serta memelukku erat-erat sehinggalah aku kembali pulih dari
ketakutan. Kemudian Malaikat melepaskan aku dan membaca firman
Allah
اقْرَأْ
بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ
اقْرَأْ وَرَبُّكَ
الْأَكْرَمُ الَّذِي عَلَّمَ
بِالْقَلَمِ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Yang
bermaksud: Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan sekalian makhluk. Dia menciptakan manusia dari
seketul darah beku, bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah yang
mengajar manusia melalui pen dan tulisan. Dia mengajar manusia
apa yang tidak diketahui. Setelah itu baginda pulang dalam
keadaan ketakutan ke pangkuan
Saidatina Khadijah, baginda berkata: Selimutlah aku!
Selimutlah aku. Lalu Saidatina Khadijah menyelimutkan baginda
hingga hilang rasa gementar dari diri baginda. Baginda
kemudiannya bersabda kepada Khadijah:
Wahai Khadijah! Apakah yang
telah berlaku kepadaku? Baginda pun menceritakan seluruh
peristiwa yang berlaku. Baginda bersabda lagi: Aku benar-benar
bimbang pada diriku. Khadijah terus
menghibur baginda dengan berkata: Janganlah begitu,
bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu,
selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, engkau telah
menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban
orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan
tetamu dan sentiasa membela kebenaran.
Khadijah beredar seketika dan kembali semula menemui baginda
dengan membawa bersama
Waraqah bin
Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu
Khadijah. Dia pernah menjadi Nasrani
pada zaman Jahiliah. Dia suka menulis dengan tulisan Arab dan
cukup banyak menulis kitab Injil dalam tulisan Arab. Ketika itu
dia telah tua dan buta. Khadijah
berkata kepadanya: Pak Cik! (Pak Cik adalah panggilan yang biasa
digunakan oleh bangsa Arab bagi sepupu dan sebagainya kerana
menghormati mereka atas dasar lebih tua) Dengarlah cerita anak
saudaramu ini. (Panggilan anak saudara juga adalah sama
permasalahannya dengan panggilan Pak Cik bagi bangsa Arab cuma
sebaliknya) Waraqah bin Naufal
berkata: Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah berlaku?
Rasulullah s.a.w menceritakan semua peristiwa yang baginda telah
alami. Mendengar peristiwa itu, Waraqah
berkata: Ini adalah undang-undang yang suatu ketika dahulu
pernah diturunkan kepada Nabi Musa
a.s. Alangkah baik sekiranya aku masih muda di saat-saat
engkau dibangkitkan menjadi Nabi. Juga alangkah baik kiranya aku
masih hidup di saat-saat engkau diusir oleh kaummu. Lalu
Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa: Apakah mereka akan
mengusirku? Waraqah menjawab:
Memanglah, setiap Nabi yang bangkit membawa tugas sepertimu,
pasti akan dimusuhi. Seandainya aku masih hidup di zamanmu,
nescaya aku akan tetap membelamu.
Hadis Jabir bin
Abdullah Al-Ansariy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w menceritakan tentang masa
terputusnya wahyu. Baginda bersabda: Ketika aku berjalan-jalan,
tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Aku mendongakkan
kepalaku, ternyata Malaikat yang pernah mendatangiku di
gua Hira' sedang duduk di atas
kerusi terapung-apung di antara langit dan bumi. Rasulullah
s.a.w bersabda: Aku mula gementar kerana ketakutanku kepadanya.
Lalu aku pulang dan berkata: Selimutkanlah aku! Selimutkanlah
aku! Setelah aku diselimutkan, ketika itulah Allah s.w.t
menurunkan ayat
يَا
أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ
Yang
bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah
peringatan, amaran kepada umat manusia dan ingatlah serta
ucapkanlah kebesaran Tuhanmu. Pakaianmu hendaklah engkau
bersihkan dan segala kejahatan, hendaklah engkau jauhi iaitu
penyembahan berhala. Setelah itu wahyu diturunkan berterusan.
Hadis Anas bin Malik r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah
didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih,
lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia
merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah
bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus
menungganginya sehinggalah sampai ke
Baitulmuqaddis. Baginda
bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana
yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi:
Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan
sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar,
secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan
semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku
memilih susu. Lalu Jibril a.s
berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku
naik ke langit. Ketika Jibril a.s
meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi:
Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Adam a.s, beliau
menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku
dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya
lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s
menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya
lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia
telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku
bertemu dengan Isa bin Mariam
dan Yahya bin Zakaria,
mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku
dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril
a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara
bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril
a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab:
Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika
aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s
ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan.
Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku
dibawa lagi naik ke langit keempat.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara
bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya:
Jibril. Jibril a.s ditanya lagi:
Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah
diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu
pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan
Nabi Idris a.s dia terus
menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah
s.w.t
وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا
Yang
bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi
darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima.
Jibril a.s meminta supaya dibukakan
pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau?
Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya
lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi:
Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Harun a.s dia terus
menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi
naik ke langit keenam. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi:
Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Musa a.s dia terus
menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi
naik ke langit ketujuh. Jibril a.s
meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi:
Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril.
Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab:
Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi:
Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu
dengan Nabi Ibrahim a.s dia
sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur.
Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat.
Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku
dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga
gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda:
Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t,
baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari
makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah
s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan
sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda
turun dan bertemu Nabi Musa a.s,
dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada
umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa
a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan
kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah
mencuba Bani Israel dan
memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya
kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah
keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima
waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada
Nabi Musa a.s dan berkata: Allah
telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s
berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah
kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda:
Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan
Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah
s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai
Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu
sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan
sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu
sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu
juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak
melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika
dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya.
Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan,
tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat
baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu
kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada
Nabi Musa a.s, lalu aku
memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada
Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu
banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu
kepada-Nya.
Hadis Malik bin Sokso'ah
r.a katanya:
Nabi s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi
Baitullah dalam keadaan separuh
tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari
tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka
menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka
membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air
Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah
sehinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah
berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku:
Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah
perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah
dikeluarkan dan dibersihkan dengan air
Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tempat asal.
Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmat, lalu dibawa pula
kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali
sebagai Buraq, ia lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari
baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara
itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan
perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu
Jibril a.s meminta agar dibukakan
pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya:
Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu
Jibril menjawab: Muhammad s.a.w.
Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan?
Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu
tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang,
sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi
Nabi Adam a.s. Hadis ini
menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya
diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan
Nabi Isa a.s dan
Nabi Yahya a.s di langit kedua,
manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan
Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di
langit keempat bertemu pula dengan
Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda
bertemu pula dengan Nabi Harun a.s.
Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami
meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku
menemui Nabi Musa a.s dan
memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang
wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya,
beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang
menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku!
Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi
umatnya paling ramai memasuki Syurga berbanding dengan umatku.
Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit
ketujuh, lalu aku mengunjungi
Nabi Ibrahim a.s. Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah
s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai
yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas
kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu
Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril!
Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai
yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang
jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku
dibawa naik ke Baitulmakmur, lalu aku bertanya: Wahai
Jibril, apakah ini? Lalu Jibril
menjawab: Ini adalah Baitulmakmur, setiap hari tujuh puluh ribu
Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak
akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir
mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang
satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya
dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan
kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu
dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan kelebihan.
Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu
setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke
akhir Hadis.
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah menceritakan
tentang perjalanan Israknya. Baginda bersabda:
Nabi Musa a.s berkulit sawa
matang dan tinggi seperti seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah.
Manakala Nabi Isa a.s pula
berbadan gempal, tingginya sederhana. Selain dari itu baginda
juga menceritakan tentang Malik penjaga
Neraka Jahanam dan Dajal.
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Bahawa Rasulullah s.a.w berjalan melalui sebuah
Lembah Al-Azraq. Baginda
bertanya: Lembah apakah ini? Para sahabat menjawab: Inilah
Lembah Al-Azraq Rasulullah
s.a.w bersabda: Aku seolah-olah memandang kepada
Nabi Musa a.s yang sedang
menuruni sebuah bukit sambil memohon daripada Allah dengan suara
yang keras melalui talbiyah. Kemudian ketika sampai di
Bukit Harsya baginda pun bertanya:
Bukit apa ini? Para sahabat menjawab:
Bukit Harsya. Kemudian
Rasulullah s.a.w bersabda: Seolah-olah aku melihat
Yunus bin Matta a.s berada
di atas seekor unta gemuk berwarna merah yang dilengkapkan
dengan kain bulu dan tali kekang sementara beliau sentiasa
bertalbiah
Hadis Abu Hurairah r.a
katanya:
Nabi s.a.w telah bersabda: Semasa aku dibawa berjalan dalam
peristiwa Israk, aku telah bertemu dengan
Musa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, maka
ternyata beliau seorang lelaki yang tinggi kurus dan berambut
ikal, seolah-olah beliau seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah.
Selain dari itu aku juga telah berjumpa dengan
Nabi Isa a.s lalu baginda memberi
gambaran mengenainya, ternyata beliau berwajah dan berperawakan
sederhana, berkulit merah, seolah-olah baru keluar dari bilik
mandi. Kemudian aku bertemu pula dengan
Nabi Ibrahim a.s dan baginda
menyatakan kepada kami bahawa bagindalah keturunannya yang
paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah
satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan
kepadaku: Ambillah mana-mana satu yang engkau suka, lalu aku
mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian
dikatakan kepadaku: Engkau sememangnya telah diberi petunjuk
dengan fitrah atau engkau menepati fitrah, seandainya engkau
mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu.
Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Pada suatu malam aku bermimpi berhampiran
Kaabah, aku melihat seorang lelaki berkulit sawa matang,
sebagaimana engkau pernah melihat seorang lelaki tampan berkulit
sawa matang, dia berambut ikal sebagaimana engkau pernah melihat
seorang lelaki tampan berambut ikal. Dia menyikat rambutnya yang
masih basah. Dia bersandar kepada dua orang atau kepada bahu dua
orang sambil melakukan Tawaf di
Baitullah. Lalu aku bertanya: Siapakah lelaki ini? Ada yang
menjawab: Dia adalah Al-Masih
bin Mariam. Kemudian aku melihat pula seorang lelaki
berambut kerinting, mata kanannya buta seperti buah anggur yang
masak ranum iaitu matanya terkeluar. Lalu aku bertanya: Siapa
pula lelaki ini? Ada yang menjawab: Dia adalah
Al-Masih Dajal.
[Kembali
ke atas] |